Bismillahirrahmanirrahim.
Saya telah mencadangkan Pulau Mabul kepada kawan - kawan untuk destinasi percutian kali ini. Pada awalnya kami pergi bersama 4 orang kawan tetapi akhirnya tinggal 3 orang sahaja. Sebut sahaja perairan Sabah, ramai yang beristighfar panjang dan tidak menggalakkan kami pergi disebabkan terdapat banyak kes penculikan dan pembunuhan. Tapi kali ini saya bertekad untuk pergi asalkan mendapat restu ibubapa dan mengambil kira jaminan keselamatan oleh pihak Polis di Semporna. Sebelum pergi pun, saya sudah membuat panggilan ke Balai Polis Semporna bertanyakan tentang keselamatan di sana dan mereka memberi jaminan bahawa di sana sangat selamat. Saya amat berterima kasih kepada pihak Balai Polis Semporna yang sudi melayan segala pertanyaan saya dan mereka juga meminta kami menyimpan nombor telefon Balai Polis Semporna jika ada sebarang kecemasan. Jadi, kepada kawan - kawan yang berada di luar sana, silalah pergi ke perairan Sabah, memang tidak akan rasa menyesal!!
HARI PERTAMA
Pagi - pagi lagi sudah terpacak di KLIA 2 dan kami berhasrat untuk sarapan pagi di dalam kapal terbang tetapi disebabkan tidak membuat tempahan makanan lebih awal, akhirnya maggie cup sahaja menjadi santapan kami. Alhamdulillah masih ada lagi rezeki untuk kami walaupun terpaks membayar RM 8 untuk semangkuk maggi. Penerbangan ke Tawau hari ini tidak mempunyai ramai peunumpang, jadi, saya berkesempatan untuk duduk di tepi tingkap sambil melayan perasaan. Saya mengimaginasikan bahawa lapangan terbang Tawau terletak berdekatan dengan laut, rupa - rupanya ia terletak berada di tengah - tengah ladang kelapa sawit.
Selamat sahaja mendarat di lapangan terbang Tawau, kami dijemput oleh seorang Pak Cik untuk ke bandar Semporna, minta maaflah saya sudah lupa nama Pak Cik. Perkhidmatan pemandu ini diatur oleh pihak Mabul Backpackers sendiri. Harga tambang pengangkutan dari Tawau ke Semporna lebih kurang RM 200 per kereta untuk pergi dan balik.
Perjalanan dari Tawau ke Semporna mengambil masa satu jam setengah dan sepanjang perjalanan kami hanya dihiasi dengan ladang kelapa sawit yang terbentang luas. Jalannya lurus dan cantik sahaja tetapi ada sesetengah tempat, ada kerja - kerja penurapan jalan sedang dijalankan. Jadi, bergegarlah kereta dan tidur adalah perkara terbaik masa ini.
Sempat lagi kawan aku seorang ini mengeluarkan duit di pekan Semporna dan untuk pengetahuan, pekan Semporna ini kecil sahaja, besar lagi pekan Masjid Tanah rasanya. Sampai kami di pekan Semporna, kami meletakkan beg di pejabat Mabul Backpackers yang terletak berdekatan dengan Dragon Floating Inn. Sementara menunggu bot tiba, kami menikmati makanan laut di sebuah restoran di Dragon Floating Inn. Makanan laut di snin sangatlah segar dan harganya agak murah berbanding di Semenanjung.
Muka - muka lapor.. |
Diaorang cari siput kot.. |
Sayur campur, sotong, udang ngan ketam... |
Terdapat beberapa kedai cenderamata di Jeti Floating Inn, bolehlah singgah kalau hendak cari t-shirt, fridge magnet, brooch mutiara dan lain - lain lagi. Kami hanya akan menjalankan aktiviti membeli - belah usai pulang dari Pulau Mabul nanti.
Pilih baju ke Kak Peeqa.. |
Panjang betul jeti kayu ni.. |
Rumah Bajau Laut |
Posing sebelum naik bot.. |
Dengan perjalanan selama satu jam, kami selamat sampai ke destinasi. Kami bersyukur kerana Mabul Backpacker ini terletak agak jauh dengan chalet - chalet yang lain, jadi kami dapat menikmati keindahan alam dengan tenang. Untuk pengetahuan, Mabul Backpackers ini berhadapan dengan open sea dan ia berjauhan dengan chalet atau resort lain. Ketibaan kami berlima disambut baik oleh krew Mabul Backpackers. Sampai sahaja, kami diberi sedikit penerangan oleh salah seorang staf di sana iaitu Tahir tentang jadual makan, bilik dan sebagainya. Bagi sesiapa yang mempunyai bajet rendah tapi ingin tempat yang agak menarik, bolehlah cuba Mabul Backpackers. Dari segi makanan, pekerja, bilik dan lain - lain semuanya tip top. Di sini, ada sesetengah bilik tiada tandas di dalam, jadi, kenalah berkongsi bilik air dengan penginap - penginap yang lain. Tip sebelum buat sebarang tempahan ialah tanya keadaan bilik dahulu. Kami lebih selesa tidak berkongsi bilik air dan bilik kami juga menghadap laut.
Pemandangan di hadapan bilik kami...biru hijau air laut.. |
Pemandangan belakang bilik kami.. |
Dua orang yang terkesima dengan keindahan Pualau Mabul.. |
Selepas sahaja mandi dan solat maghrib, kami dipanggil oleh staf di sini untuk menikmati makan malam. Setiap makanan yang dihidangkan di sini dari sarapan sampailah makan malam semuanya sedap - sedap. Memang baguslah tukang masak kat sini. Kami menikmati hidangan makan malam sambil dihidangkan nyanyian staf - staf di Mabul Backpackers. Di sini memang tiada TV atau wifi percuma, jadi, kalau nak hilangkan rasa bosan, amat disarankan untuk mendengar lagu atau membawa buku. Line telefon pun agak tidak bagus terutama Maxis. Bila terputus hubungan dengan media sosial membuatkan kami menghargai waktu - waktu bersama dan menikmati ketenangan Pulau Mabul.
Quote: "I Like To Spend Time With People Who Make Me Forget About My Phone".
Comments
Post a Comment